Isnin, 4 Julai 2016

Hutang Darah Dibalas Darah

Kemarahan ialah salah satu tindak balas emosi apabila kita berada dalam keadaan diancam. Kemarahan boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang kerana kemarahan akan menyebabkan terdorongnya perasaan dendam. Dendam kesumat.

Sesungguhnya dendam inilah yang akan mendorong kita menjadi masyarakat yang berpecah belah. Misalnya apabila kita dicerca dan dihina, ia akan mendorong kepada emosi kemarahan dan seterusnya membawa kepada tersimpannya dendam. Tersimpannya dendam ini adalah suatu yang menyakitkan. Dendam akan terus meminta untuk dilepaskan juka kita membendungnya dengan baik.

Ada sesetengah insan menyatakan bahawa memaafkan kesalahan orang lain itu adalah suatu perkara yang lemah. Suatu perkara yang menunjukkan hipokritnya diri kita. Ada juga yang hatinya keras dengan berpendapat bahawa dendam ini perlu dibalas, luka diganti dengan luka, darah diganti dengan darah dan sehingga nyawa pun turut perlu diganti dengan nyawa.

Kita semua seharusnya jelas bahawa memaafkan itu bukanlah sesuatu tindakan bagi seorang yang penakut. Memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain adalah menunjukkan kita lebih kuat. Kita kuat menahan suatu amarah yang berunsurkan dari serpihan neraka itu sendiri.

Dendam  bukan sahaja mendorong kepada terputusnya silaturahim, malah ia juga akan menyebabkan tekanan yang berpanjangan, tambahan lagi apabila dendam itu tidak dapat dilangsaikan.

Ada orang menderita strok kerana disebabkan oleh mereka menyimpan dendam, dan ada orang menderita sakit jantung juga kerana perkara yang sama. Semua itu disebabkan hatinya dikuasai dendam yang membara-bara, tetapi dia tidak dapat melampiaskan dendamnya itu.

Dendam yang berjaya dilepaskan itu pastikah akan menenangkan jiwa? Atau ia akan terus menghantui kehidupan kita?


Yang mampu menenangkan ‘dendam’ itu hanyalah ‘memaafkan’.

Sabtu, 2 Julai 2016

Cinta Hakiki

Cinta yang sebenar adalah apa-apa sahaja yang membawa ke syurga, dan sesungguhnya yang membawa ke neraka itu bukan cinta namanya. Cinta yang berlandaskan nafsu, cinta monyet, cita buta, cinta palsu adalah bukan erti cinta yang sebenar.

Bagaimana mahu kita buktikan cinta kita yang sebenarnya? Adakah dengan kata-kata atau lisan sahaja sudah mampu dijadikan bukti cinta yang sebenar?

Tidak. Cinta dan kasih sayang sesungguhnya tidak dapat dibuktikan dengan jelas hanya dengan kata-kata, tetapi sejelasnya cinta hanya dapat ditafsirkan dengan perbuatan.

Misalnya, kita menyatakan kita sayang mencintai Allah yang Maha Esa, tetapi kita tidak solat, kita minum arak, kita langgan pelacuran dan kita berjudi, adakah ini membuktikan kita mencintai Allah? Jelas sekali tidak.

Begitu juga apabila kita menyatakan cinta kita terhadap manusia. Hanya sekadar kata-kata sahaja tidak cukup membuktikan kasih sayang kita terhadap mereka yang dicintai tidak kiralah sama ada keluarga, sahabat mahupun ibu bapa kita.

Jika kita mempunyai kefahaman yang mendalam tentang erti sebenar cinta yang suci ini, kita akan sentiasa mendahului Allah s.w.t.. Dengan ini hawa nafsu dan segala kehendak negatif akan dapat ditangkis dengan mudah jika kita terus memegang pada erti prinsip sebenar cinta.


Sesiapa pun mereka yang kita cintai itu, pastikan Allah s.w.t. sentiasa berada di atas yang mendahului segalanya supaya cinta dapat membentuk cinta yang hakiki. InsyaAllah. 

Jumaat, 1 Julai 2016

Sahabat dan Belakangku Yang Berdarah

Setiap agama tidak kiralah sama ada Islam, Buddha atau Kristian sekali pun sangat menitikberatkan dalam urusan memilih kawan atau dengan Bahasa yang lebih indah, memilih seorang yang sahabat yang sentiasa bersama kita tidak kiralah pada waktu ‘hujan’ mahupun ‘cerah’.

Dalam agama Islam, hubungan persahabatan adalah suatu hubungan yang sangat dimuliakan atas kerana erti persahabatan sendiri itu. Sahabat sebenarnya berperanan dalam membentuk personaliti seseorang insan. Sahabat sepatutnya sentiasa menjadi orang yang pertama menghulur tangan memberi bantuan mahupun sokongan kita berada dalam kesusahan.

Namun begitu, setiap yang buruk pasti terdapat sesetengah individu yang mencemarkan erti kesucian dalam persahabatan. Individu yang mengotorkan kesucian ini dengan hanya mengambil kesempatan terhadap sahabatnya. Hanya menumpang untuk mengambil kesenangan sahaja. Pabila kita terjatuh lagi ditimpa musibah, golongan ini akan menghilangkan diri menumpang kesenangan di sudut lain pula.

Pernah juga terdengar tentang takrifan berbunyi seperti ini, “sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul.”

Ramai yang pernah ditikam belakangnya oleh sahabat mereka. Tanpa sebarang bisik sebagai petanda, pisau ditorehnya kita dengan perlahan dari belakang. Tiada sebarang alasan atau sebab, langsung tidak diberitahu. Tambahan pula apabila berkali-kali kita dikhianati. Manakan hilang nilai kemanusian sesetengah individu pabila sudah penat menahan sakit?

Walaupun sudah lama kita bersahabat, makan sekali, tiap hari sisi tidak pernah sunyi, malah ketawa dan menangis juga sekali, tetapi sampai satu masa kita dikhianati, tanpa apa-apa sebarang petunjuk, boleh diserang fobia untuk bersahabat lagi bagi sesetengah insan.

Berhati-hati dalam bersahabat bukan menjadi kesalahan, bukan tiada erti keikhlasan. Tidak sama sekali. Tambahan pula dengan dunia zaman sekarang yang terlalu ramai menyembunyi pisau di sudut belakang.

Punca berlakunya perbuatan backstabbing disebabkan perasaan iri hati dan kerakusan dari lubuk nafsu dan syaitan. Tamsilnya, apabila seseorang individu itu inginkan sesuatu dengan cara yang cepat, dia mahu tunjukkan kepada orang ramai yang dirinya berguna di samping menjadi lebih tinggi di mata orang lain.

Secara idealistik, perkara ini tidak sepatutnya terjadi tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang setiap orang pernah dan akan mengalaminya. Ramai orang salah sangka apabila kita mahu bersahabat kita tidak boleh memilih, tetapi itu sebenarnya jelas sekali tidak benar.

Kita seharusnya teliti memilih sahabat kerana sahabat dapat membahagiakan kita. Malah sahabat dunia akhirat juga akan menjadi pembimbing kita untuk melangkah bersama-sama menjejak Jannah.

Jangan sesekali kita berfikiran kolot dengan mengatakan bahawa tidak ada orang yang ingin bersahabat dengan kita kerana dunia ini luas dengan sahabat yang boleh menerima kita seadanya.

Setiap yang terjadi dalam kehidupan kita, anggap ini sebagai ujian yang terus mematangkan kita dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk ditikam sekejam itu namun, kita juga tidak boleh menolak apa yang telah ditakdirkan ke atas diri. Jangan lah kamu berputus asa dalam menjadi seorang sahabat yang baik, yang menjaga erti kesucian dalam persahabatan.

Sentiasa juga kita beringat kepada diri kita, apa-apa sekali pun yang kita lakukan biarlah ia sentiasa ikhlas dan tabah di jalan yang diredhai-Nya.



Khamis, 30 Jun 2016

Luka Fizikal

Sakit merupakan salah satu daripada ujian yang berhikmah yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap insan yang bergelar manusia tidak lari daripada ujian ini. Ia membuktikan bahawa kita adalah hamba yang lemah.

Mahupun sakit itu sementara atau berkekalan, ia bertujuan untuk mengingati kita kepada yang lebih berkuasa. Bagi orang yang beriman kepada-Nya, sakit dan juga kematian bukanlah suatu ketakutan, malah ia merupakan sebuah kedamaian kepada diri mereka.

Tambahan pula, sakit akan mengugurkan dosa-dosa kecil yang terkandung di dalam darah kita. Kita sebagai hamba yang soleh dan solehah tidak sewajarnya mengeluh dengan ujian ditimpa sakit ini. Malah kita seharusnya menjadikan sakit itu satu nikmat yang diberikan oleh Allah kerana jelaslah bahawa tanpa kesihatan yang baik, segala isi dunia ini seperti wang tiada lagi nilai. Kekayaan bukanlah penyembuh kepada kesakitan. 

Justeru jelaslah bahawa diuji dengan sakit ini akan mengingati kita kepada Sang Pencipta yang Maha Agung lagi Maha Kaya.

Ingatlah juga untuk kuatkan jiwa dan hati agar tidak mengeluh atas ujian yang ditimpa. Mengeluh dan berputus asa dengan ujian yang diberikan oleh Allah akan mengundang kepada dosa. Sesungguhnya Allah membenci orang yang berputus asa atas jalan-Nya.

Hadapilah ujian ini dengan syak wasangka yang baik. Sakit ini ibarat ketika kita sedang lapar, ia mengingatkan kita dengan makanan untuk mengenyangkan perut kita. Begitu  jugalah dengan sakit, ia sepatutnya sentiasa akan mengingatkan kita kepada yang Maha Menyembuhkan kita.


Sesungguhnya sakit itu merupakan tanda sayangnya Allah kepada kita.