Isnin, 4 Julai 2016

Hutang Darah Dibalas Darah

Kemarahan ialah salah satu tindak balas emosi apabila kita berada dalam keadaan diancam. Kemarahan boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang kerana kemarahan akan menyebabkan terdorongnya perasaan dendam. Dendam kesumat.

Sesungguhnya dendam inilah yang akan mendorong kita menjadi masyarakat yang berpecah belah. Misalnya apabila kita dicerca dan dihina, ia akan mendorong kepada emosi kemarahan dan seterusnya membawa kepada tersimpannya dendam. Tersimpannya dendam ini adalah suatu yang menyakitkan. Dendam akan terus meminta untuk dilepaskan juka kita membendungnya dengan baik.

Ada sesetengah insan menyatakan bahawa memaafkan kesalahan orang lain itu adalah suatu perkara yang lemah. Suatu perkara yang menunjukkan hipokritnya diri kita. Ada juga yang hatinya keras dengan berpendapat bahawa dendam ini perlu dibalas, luka diganti dengan luka, darah diganti dengan darah dan sehingga nyawa pun turut perlu diganti dengan nyawa.

Kita semua seharusnya jelas bahawa memaafkan itu bukanlah sesuatu tindakan bagi seorang yang penakut. Memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain adalah menunjukkan kita lebih kuat. Kita kuat menahan suatu amarah yang berunsurkan dari serpihan neraka itu sendiri.

Dendam  bukan sahaja mendorong kepada terputusnya silaturahim, malah ia juga akan menyebabkan tekanan yang berpanjangan, tambahan lagi apabila dendam itu tidak dapat dilangsaikan.

Ada orang menderita strok kerana disebabkan oleh mereka menyimpan dendam, dan ada orang menderita sakit jantung juga kerana perkara yang sama. Semua itu disebabkan hatinya dikuasai dendam yang membara-bara, tetapi dia tidak dapat melampiaskan dendamnya itu.

Dendam yang berjaya dilepaskan itu pastikah akan menenangkan jiwa? Atau ia akan terus menghantui kehidupan kita?


Yang mampu menenangkan ‘dendam’ itu hanyalah ‘memaafkan’.

Sabtu, 2 Julai 2016

Cinta Hakiki

Cinta yang sebenar adalah apa-apa sahaja yang membawa ke syurga, dan sesungguhnya yang membawa ke neraka itu bukan cinta namanya. Cinta yang berlandaskan nafsu, cinta monyet, cita buta, cinta palsu adalah bukan erti cinta yang sebenar.

Bagaimana mahu kita buktikan cinta kita yang sebenarnya? Adakah dengan kata-kata atau lisan sahaja sudah mampu dijadikan bukti cinta yang sebenar?

Tidak. Cinta dan kasih sayang sesungguhnya tidak dapat dibuktikan dengan jelas hanya dengan kata-kata, tetapi sejelasnya cinta hanya dapat ditafsirkan dengan perbuatan.

Misalnya, kita menyatakan kita sayang mencintai Allah yang Maha Esa, tetapi kita tidak solat, kita minum arak, kita langgan pelacuran dan kita berjudi, adakah ini membuktikan kita mencintai Allah? Jelas sekali tidak.

Begitu juga apabila kita menyatakan cinta kita terhadap manusia. Hanya sekadar kata-kata sahaja tidak cukup membuktikan kasih sayang kita terhadap mereka yang dicintai tidak kiralah sama ada keluarga, sahabat mahupun ibu bapa kita.

Jika kita mempunyai kefahaman yang mendalam tentang erti sebenar cinta yang suci ini, kita akan sentiasa mendahului Allah s.w.t.. Dengan ini hawa nafsu dan segala kehendak negatif akan dapat ditangkis dengan mudah jika kita terus memegang pada erti prinsip sebenar cinta.


Sesiapa pun mereka yang kita cintai itu, pastikan Allah s.w.t. sentiasa berada di atas yang mendahului segalanya supaya cinta dapat membentuk cinta yang hakiki. InsyaAllah. 

Jumaat, 1 Julai 2016

Sahabat dan Belakangku Yang Berdarah

Setiap agama tidak kiralah sama ada Islam, Buddha atau Kristian sekali pun sangat menitikberatkan dalam urusan memilih kawan atau dengan Bahasa yang lebih indah, memilih seorang yang sahabat yang sentiasa bersama kita tidak kiralah pada waktu ‘hujan’ mahupun ‘cerah’.

Dalam agama Islam, hubungan persahabatan adalah suatu hubungan yang sangat dimuliakan atas kerana erti persahabatan sendiri itu. Sahabat sebenarnya berperanan dalam membentuk personaliti seseorang insan. Sahabat sepatutnya sentiasa menjadi orang yang pertama menghulur tangan memberi bantuan mahupun sokongan kita berada dalam kesusahan.

Namun begitu, setiap yang buruk pasti terdapat sesetengah individu yang mencemarkan erti kesucian dalam persahabatan. Individu yang mengotorkan kesucian ini dengan hanya mengambil kesempatan terhadap sahabatnya. Hanya menumpang untuk mengambil kesenangan sahaja. Pabila kita terjatuh lagi ditimpa musibah, golongan ini akan menghilangkan diri menumpang kesenangan di sudut lain pula.

Pernah juga terdengar tentang takrifan berbunyi seperti ini, “sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul.”

Ramai yang pernah ditikam belakangnya oleh sahabat mereka. Tanpa sebarang bisik sebagai petanda, pisau ditorehnya kita dengan perlahan dari belakang. Tiada sebarang alasan atau sebab, langsung tidak diberitahu. Tambahan pula apabila berkali-kali kita dikhianati. Manakan hilang nilai kemanusian sesetengah individu pabila sudah penat menahan sakit?

Walaupun sudah lama kita bersahabat, makan sekali, tiap hari sisi tidak pernah sunyi, malah ketawa dan menangis juga sekali, tetapi sampai satu masa kita dikhianati, tanpa apa-apa sebarang petunjuk, boleh diserang fobia untuk bersahabat lagi bagi sesetengah insan.

Berhati-hati dalam bersahabat bukan menjadi kesalahan, bukan tiada erti keikhlasan. Tidak sama sekali. Tambahan pula dengan dunia zaman sekarang yang terlalu ramai menyembunyi pisau di sudut belakang.

Punca berlakunya perbuatan backstabbing disebabkan perasaan iri hati dan kerakusan dari lubuk nafsu dan syaitan. Tamsilnya, apabila seseorang individu itu inginkan sesuatu dengan cara yang cepat, dia mahu tunjukkan kepada orang ramai yang dirinya berguna di samping menjadi lebih tinggi di mata orang lain.

Secara idealistik, perkara ini tidak sepatutnya terjadi tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang setiap orang pernah dan akan mengalaminya. Ramai orang salah sangka apabila kita mahu bersahabat kita tidak boleh memilih, tetapi itu sebenarnya jelas sekali tidak benar.

Kita seharusnya teliti memilih sahabat kerana sahabat dapat membahagiakan kita. Malah sahabat dunia akhirat juga akan menjadi pembimbing kita untuk melangkah bersama-sama menjejak Jannah.

Jangan sesekali kita berfikiran kolot dengan mengatakan bahawa tidak ada orang yang ingin bersahabat dengan kita kerana dunia ini luas dengan sahabat yang boleh menerima kita seadanya.

Setiap yang terjadi dalam kehidupan kita, anggap ini sebagai ujian yang terus mematangkan kita dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk ditikam sekejam itu namun, kita juga tidak boleh menolak apa yang telah ditakdirkan ke atas diri. Jangan lah kamu berputus asa dalam menjadi seorang sahabat yang baik, yang menjaga erti kesucian dalam persahabatan.

Sentiasa juga kita beringat kepada diri kita, apa-apa sekali pun yang kita lakukan biarlah ia sentiasa ikhlas dan tabah di jalan yang diredhai-Nya.



Khamis, 30 Jun 2016

Luka Fizikal

Sakit merupakan salah satu daripada ujian yang berhikmah yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap insan yang bergelar manusia tidak lari daripada ujian ini. Ia membuktikan bahawa kita adalah hamba yang lemah.

Mahupun sakit itu sementara atau berkekalan, ia bertujuan untuk mengingati kita kepada yang lebih berkuasa. Bagi orang yang beriman kepada-Nya, sakit dan juga kematian bukanlah suatu ketakutan, malah ia merupakan sebuah kedamaian kepada diri mereka.

Tambahan pula, sakit akan mengugurkan dosa-dosa kecil yang terkandung di dalam darah kita. Kita sebagai hamba yang soleh dan solehah tidak sewajarnya mengeluh dengan ujian ditimpa sakit ini. Malah kita seharusnya menjadikan sakit itu satu nikmat yang diberikan oleh Allah kerana jelaslah bahawa tanpa kesihatan yang baik, segala isi dunia ini seperti wang tiada lagi nilai. Kekayaan bukanlah penyembuh kepada kesakitan. 

Justeru jelaslah bahawa diuji dengan sakit ini akan mengingati kita kepada Sang Pencipta yang Maha Agung lagi Maha Kaya.

Ingatlah juga untuk kuatkan jiwa dan hati agar tidak mengeluh atas ujian yang ditimpa. Mengeluh dan berputus asa dengan ujian yang diberikan oleh Allah akan mengundang kepada dosa. Sesungguhnya Allah membenci orang yang berputus asa atas jalan-Nya.

Hadapilah ujian ini dengan syak wasangka yang baik. Sakit ini ibarat ketika kita sedang lapar, ia mengingatkan kita dengan makanan untuk mengenyangkan perut kita. Begitu  jugalah dengan sakit, ia sepatutnya sentiasa akan mengingatkan kita kepada yang Maha Menyembuhkan kita.


Sesungguhnya sakit itu merupakan tanda sayangnya Allah kepada kita.

Rabu, 29 Jun 2016

Lepas, Maaf, Lupa

Apa itu kesabaran?

Saya mendefinisikan sabar itu dengan tiga perkataan yang tidak boleh dipisahkan, iaitu ‘melepaskan’, ‘memaafkan’ dan ‘melupakan’.

Kita sering kali diuji dengan pelbagai ujian tidak kiralah dalam bentuk apa sekali pun ujian tersebut. Kita tidak pernah berhenti berehat menghadapi ujian-ujian Tuhan ini.

Lepas hilangnya satu masalah, pasti akan muncul satu lagi masalah lain. Malah ada juga masalah kita yang tidak pernah selesai yang akan menyebabkan masalah-masalah kita akan bertimbun menjadi gunung.

Baik diuji dengan masalah dalam persahabatan, percintaan, mahupun masalah keluarga, semua ini menuntut kita untuk bersabar. Namun bagaimanakah kita boleh dan terus mampu menahan sabar sehingga ke penghujungnya?

Ramai orang mengatakan bahawa kesabaran ini ada hadnya. Benarkah itu? 

Insan yang meletakkan had atau ‘limit’ terhadap tahap kesabaran ini adalah insan yang lemah. Kesabaran ini bukanlah sesuatu yang mempunyai had seperti mengisi air di dalam botol sahaja. Sememangnya tidak sama sekali. Jika kita meletakkan had yang tertentu pada nilai kesabaran ini, ketahuilah ia bukan nilai kesabaran yang sebenar.

Sabar merupakan satu anugerah Tuhan yang sangat tinggi nilainya. Seperti mana yang saya katakan, sabar ini adalah melepaskan, memaafkan dan melupakan (mesti ikut sususan).

Sabar yang sebenarnya adalah dengan cara melepaskan sesuatu yang pahit itu dengan tenang dan senyuman, memaafkan sesuatu yang dibenci itu dengan kasih sayang, dan semestinya melupakan sesuatu yang buruk dan hitam itu dengan hati yang meredhainya.

Ingatlah kepada yang meletakkan sabar itu dengan had, ubahlah ia. Upgrade lah ia menjadi sesuatu yang sempurna.

Orang yang kuat adalah orang yang kesabarannya tiada batasnya.


Selasa, 28 Jun 2016

Diludah Sebelum Bergelar Pemimpin

Menjadi seorang pemimpin adalah sesuatu yang sangat mudah. Tetapi menjadi seorang pemimpin yang adil lagi disegani dengan sikap amanah merupakan satu perkara yang sangat sukar untuk dicapai oleh sesetengah pemimpin.

Semua orang perlu tahu bahawa kita ini mesti akan menjadi seorang pemimpin, tidak kiralah sama ada kecil kelompok bawahannya mahupun besar. Namun kita seharusnya juga ingat bahawa tiada pohon mampu tumbuh tanpa akarnya, dan tiada akar bergerak sebagai pohon.

Pada pendapat saya, bagi seorang pelajar, menjadi seorang ‘ahli’ merupakan langkah pertama untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani dan dihormati. Setiap pemimpin seharusnya perlu merasa kehidupan sebagai seorang ‘ahli’ atau ‘rakyat’. Segala susah dan senang yang dihadapi oleh ‘ahli’ seharusnya direnangi terlebih dahulu oleh setiap pemimpin.

Langkah pertama ini sangat mengajar kita menjadi seorang manusia yang sememangnya manusia. Pemimpin yang hebat akan mendalami segala kehidupan rakyat supaya apabila anda sudah menjadi pemimpin, anda tentunya akan memahami sepenuhnya perasaan dan kehendak ahli. Ini membuktikan pemimpin dan ahli berada di bawah langit yang sama.

Selain memahami, apabila kita menjadi ahli, kita akan belajar mendengar arahan, belajar memegang amanah dan memikul tangjungjawab. Inilah perkara yang paling penting yang wajib dipraktikkan sebelum anda bergelar pemimpin.

Bagi yang bernasib baik (kebanyakkan), kita akan diuji dengan adanya pemimpin yang zalim. Di sinilah kita akan diuji dengan dihina, dicerca, diludah, dibuli, dipijak, dikianati dan seumpamanya. Terlalu ramai pemimpin-pemimpin dunia ini dihina dan diludah sebelum bergelar pemimpin.

Untuk pengetahuan tambahan juga, sebagai seorang pemimpin, dihina dan dicerca oleh rakyat atau ahli sendiri itu sudah menjadi suatu yang lumrah. Pemimpin yang tergelincir dari ujian ini majoritinya telah menjadi Raja Kuku Besi.

Sebagai simpulan kata, semakin berat ujian yang kita hadapi, semakin tinggi peratus kematangan dan keadilan kita menjadi pemimpin. InsyaAllah.

Isnin, 27 Jun 2016

Tepi Senang, Ada Susah

Allah menguji kita dengan mencampakkan kehidupan susah kepada kita, tetapi adakalanya Allah menguji kita dengan kehidupan yang dipenuhi dengan insan-insan yang susah.

Namun apakah tindakan kita terhadap mereka?

Manusia ini pelbagai ragam layanannya terhadap golongan yang susah ini. Tidak kira susah dari konsep apa sekali pun.

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.

Janganlah kita memandang hina terhadap insan-insan yang memerlukan bantuan ini. Tidak kiralah sama ada bantuan dalam bentuk fizikal mahupun mental. Menjadi seorang sahabat yang baik juga adalah salah satu ihsan yang baik kerana ramai juga manusia yang hidupnya bukan sekadar sebatang kara, malah tiada seorang pun dalam hidupnya bergelar sahabat atau seumpamanya. Menjadi seorang rakan baik kepada sang pendiam juga merupakan satu sifat yang sangat mulia.


Jadilah insan pertama yang akan menghulurkan tangan kepada sang yang memerlukan. Jangan biar nafsu dan syaitan berfikir dua kali.

Ahad, 26 Jun 2016

Emasnya Berkhalwat

Setiap manusia mempunyai masa untuk kita meluangkan masa seorang diri. Luangkan masa untuk berseorang diri di suatu tempat ini sangat penting bagi setiap orang. 

Hal ini kerana, setiap kali kita berhadapan dengan sesiapa pun, kita akan menggunakan tenaga sama ada dengan kadar yang banyak mahupun sedikit untuk kita berkomunikasi.

Bagi saya, meluangkan masa bersendirian ini adalah salah satu perkara yang sangat penting untuk dilakukan setiap dalam tempoh 24 jam. Meluangkan masa dengan diri sendiri ini akan membuatkan kita lebih mengenali diri kita sendiri selain daripada mampu memberi ruang dan peluang untuk diri sendiri mencari erti siapa sebenarnya diri ini.

Dalam tempoh bersendirian ini, jangan pula kita asyik memikirkan orang lain sama ada dengan maksud positif atau negatif sekali pun. Dalam tempoh ini, berilah ruang sepenuhnya untuk diri kita berkomunikasi dengan tenang tentang diri kita. Ini sangat penting juga bagi setiap insan yang bergelar pelajar. Ia dapat membentuk satu identiti diri masing-masing yang tanpa adanya titik tolak dari mana-mana sumber yang lain. 

Jadikan diri sendiri sebagai satu kekuatan dan idola bukanlah satu kesalahan.

Meluangkan masa berseorangan ini bukan bermaksud ‘kemurungan’, malah perkara ini dapat mengelakkan diri daripada menghadapi masalah kemurungan. 

Kemurungan adalah satu penyakit yang perlu dihadapi dengan segera kerana pada pendapat saya masalah kemurungan ini sangat sukar untuk dihadapi apabila ia mencapai pada tahap yang kritikal.

Hargailah masa kita dengan diri sendiri.

Sabtu, 25 Jun 2016

Dalam Negatif Tersimpan Positif

Manusia akan sentiasa berubah. Mahupun ke arah suatu yang positif atau negatif. Namun begitu, setiap manusia yang berubah mempunyai alasannya yang tersendiri. Tidak kiralah sama ada alasan tersebut diterima pakai oleh pihak lain atau sebaliknya.

Perubahan yang berlaku ke atas manusia ini kebiasaannya terkesan daripada luar, iaitu faktor sekeliling atau dalam bahasa yang mudah ialah situasi atau ujian yang menimpa individu tersebut. 

Sesuatu ujian sama ada ujian kenikmatan atau sebaliknya akan membawa kepada dua jalan perubahan yang lain iaitu ke arah yang pasif atau aktif. Setiap perkara ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan pasif mahupun aktif. Terdapat unsur negatif dan positif bagi kedua-duanya.

Manusia adalah sejenis makhluk yang mudah dipengaruhi atau terbawa-bawa dengan ujian yang dihadapinya. Ini dapat dibuktikan apabila wujudnya istilah ‘manusia mudah berubah’. 

Namun begitu, pada pendapat saya, perubahan insan lain menjadi baik atau buruk bukanlah suatu perkara yang negatif bagi diri kita. Perubahan individu lain terhadap diri kita sepatutnya sentiasa memberi impak yang baik kepada kita. 

Kita tidak seharusnya terus mencela individu  tersebut, sebaliknya jadikanlah ia sebagai suatu petunjuk yang baik kepada kita. Tidak semestinya ujian yang buruk dan berat itu adalah suatu yang akan menjatuhkan kita. Melainkan anda adalah lemah.

Apa perlu buat supaya kita tidak terkesan dengan individu yang kita saya telah ‘berubah’? 

Pertama sekali kita mesti ubah pemikiran kita yang sentisa memandang negatif terhadap suatu perubahan insan lain. Sesungguhnya, anggaplah bahawa perubahan itu sebenarnya adalah tanda memperingati kita tentang bertapa sukarnya kita sebagai manusia ini untuk menjadi yang terbaik, untuk memenuhi hasrat hati orang lain dan untuk menyenangi hati semua orang. 

Sampai bila kita mahu tolak ketepi segala macam yang berunsur negatif? 

Sekali kita tolak, sekali kita rugi. 

Oleh itu, ubahlah sesuatu yang negatif itu menjadi sesuatu yang boleh membimbing diri.

Secara kasarnya, kita akan mendapat nilai yang baik daripada suatu yang negatif dan yang positif.

Jumaat, 24 Jun 2016

Perasaan Sebagai Kulit Manusia

Manusia tidak pernah lagi dari suatu kehidupan yang melibatkan satu bentuk aura yang diberi nama 'perasaan'. Perasaan atau emosi ini sangatlah mempengaruhi kehidupan seharian kita sebagai seorang manusia biasa. Hampir 6 daripada 10 orang dewasa membuat keputusan dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan perasaan, manakala hampir 7 daripada 10 orang remaja menyelesaikan masalah kehidupan masing-masing bertiangkan perasaan sebagai penolak utama.

Bagi saya perasaan adalah satu perkara yang sangat positif jika digunakan dengan cara yang betul. Kita sebagai manusia yang normal tidak lari jauh daripada menghadapi segala ujian derita dan bahagia yang kita melibatkan emosi tersendiri. Antara perasaan atau emosi yang kebiasaan kita hadapi termasuklah :

Kenikmatan : gembira, bahagia, riamg, kepuasan, senang, terhibur, senang

Kesedihan  : sedih, pedih, muram, melankolis, give up, dana pa-apa yang berlawanan dengan kenikmatan

Rasa takut  : cemas, gelisah, gugup, tidak tenang, ngeri

Amarah      : benci, jengkel, kesal hati

Cinta       : sayang?

Namun begitu, terdapat banyak lagi jenis-jenis perasaan seperti perasaan terkejut, jengkel, rasa lemah diri dan lain lagi.

Sebagai kesimpulan, perasaan ini akan berfungsi jika terdapat daya penolakan terhadap diri, bergantung 80% daripada situasi kejadian. Manusia yang normal kebiasaannya perasaan akan bertindak balas mengikut situasi yang dihadapi. Namun, orang yang bijak akan mampu menjadi pembimbing perasaan yang hebat. 

Perasaan adalah suatu kuasa yang sangat hebat jika dikawal dengan baik bagi seorang insan yang normal yang ingin menjadi insan yang luar biasa. Percayalah.