Jumaat, 1 Julai 2016

Sahabat dan Belakangku Yang Berdarah

Setiap agama tidak kiralah sama ada Islam, Buddha atau Kristian sekali pun sangat menitikberatkan dalam urusan memilih kawan atau dengan Bahasa yang lebih indah, memilih seorang yang sahabat yang sentiasa bersama kita tidak kiralah pada waktu ‘hujan’ mahupun ‘cerah’.

Dalam agama Islam, hubungan persahabatan adalah suatu hubungan yang sangat dimuliakan atas kerana erti persahabatan sendiri itu. Sahabat sebenarnya berperanan dalam membentuk personaliti seseorang insan. Sahabat sepatutnya sentiasa menjadi orang yang pertama menghulur tangan memberi bantuan mahupun sokongan kita berada dalam kesusahan.

Namun begitu, setiap yang buruk pasti terdapat sesetengah individu yang mencemarkan erti kesucian dalam persahabatan. Individu yang mengotorkan kesucian ini dengan hanya mengambil kesempatan terhadap sahabatnya. Hanya menumpang untuk mengambil kesenangan sahaja. Pabila kita terjatuh lagi ditimpa musibah, golongan ini akan menghilangkan diri menumpang kesenangan di sudut lain pula.

Pernah juga terdengar tentang takrifan berbunyi seperti ini, “sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul.”

Ramai yang pernah ditikam belakangnya oleh sahabat mereka. Tanpa sebarang bisik sebagai petanda, pisau ditorehnya kita dengan perlahan dari belakang. Tiada sebarang alasan atau sebab, langsung tidak diberitahu. Tambahan pula apabila berkali-kali kita dikhianati. Manakan hilang nilai kemanusian sesetengah individu pabila sudah penat menahan sakit?

Walaupun sudah lama kita bersahabat, makan sekali, tiap hari sisi tidak pernah sunyi, malah ketawa dan menangis juga sekali, tetapi sampai satu masa kita dikhianati, tanpa apa-apa sebarang petunjuk, boleh diserang fobia untuk bersahabat lagi bagi sesetengah insan.

Berhati-hati dalam bersahabat bukan menjadi kesalahan, bukan tiada erti keikhlasan. Tidak sama sekali. Tambahan pula dengan dunia zaman sekarang yang terlalu ramai menyembunyi pisau di sudut belakang.

Punca berlakunya perbuatan backstabbing disebabkan perasaan iri hati dan kerakusan dari lubuk nafsu dan syaitan. Tamsilnya, apabila seseorang individu itu inginkan sesuatu dengan cara yang cepat, dia mahu tunjukkan kepada orang ramai yang dirinya berguna di samping menjadi lebih tinggi di mata orang lain.

Secara idealistik, perkara ini tidak sepatutnya terjadi tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang setiap orang pernah dan akan mengalaminya. Ramai orang salah sangka apabila kita mahu bersahabat kita tidak boleh memilih, tetapi itu sebenarnya jelas sekali tidak benar.

Kita seharusnya teliti memilih sahabat kerana sahabat dapat membahagiakan kita. Malah sahabat dunia akhirat juga akan menjadi pembimbing kita untuk melangkah bersama-sama menjejak Jannah.

Jangan sesekali kita berfikiran kolot dengan mengatakan bahawa tidak ada orang yang ingin bersahabat dengan kita kerana dunia ini luas dengan sahabat yang boleh menerima kita seadanya.

Setiap yang terjadi dalam kehidupan kita, anggap ini sebagai ujian yang terus mematangkan kita dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk ditikam sekejam itu namun, kita juga tidak boleh menolak apa yang telah ditakdirkan ke atas diri. Jangan lah kamu berputus asa dalam menjadi seorang sahabat yang baik, yang menjaga erti kesucian dalam persahabatan.

Sentiasa juga kita beringat kepada diri kita, apa-apa sekali pun yang kita lakukan biarlah ia sentiasa ikhlas dan tabah di jalan yang diredhai-Nya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan