Khamis, 30 Jun 2016

Luka Fizikal

Sakit merupakan salah satu daripada ujian yang berhikmah yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap insan yang bergelar manusia tidak lari daripada ujian ini. Ia membuktikan bahawa kita adalah hamba yang lemah.

Mahupun sakit itu sementara atau berkekalan, ia bertujuan untuk mengingati kita kepada yang lebih berkuasa. Bagi orang yang beriman kepada-Nya, sakit dan juga kematian bukanlah suatu ketakutan, malah ia merupakan sebuah kedamaian kepada diri mereka.

Tambahan pula, sakit akan mengugurkan dosa-dosa kecil yang terkandung di dalam darah kita. Kita sebagai hamba yang soleh dan solehah tidak sewajarnya mengeluh dengan ujian ditimpa sakit ini. Malah kita seharusnya menjadikan sakit itu satu nikmat yang diberikan oleh Allah kerana jelaslah bahawa tanpa kesihatan yang baik, segala isi dunia ini seperti wang tiada lagi nilai. Kekayaan bukanlah penyembuh kepada kesakitan. 

Justeru jelaslah bahawa diuji dengan sakit ini akan mengingati kita kepada Sang Pencipta yang Maha Agung lagi Maha Kaya.

Ingatlah juga untuk kuatkan jiwa dan hati agar tidak mengeluh atas ujian yang ditimpa. Mengeluh dan berputus asa dengan ujian yang diberikan oleh Allah akan mengundang kepada dosa. Sesungguhnya Allah membenci orang yang berputus asa atas jalan-Nya.

Hadapilah ujian ini dengan syak wasangka yang baik. Sakit ini ibarat ketika kita sedang lapar, ia mengingatkan kita dengan makanan untuk mengenyangkan perut kita. Begitu  jugalah dengan sakit, ia sepatutnya sentiasa akan mengingatkan kita kepada yang Maha Menyembuhkan kita.


Sesungguhnya sakit itu merupakan tanda sayangnya Allah kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan