Rabu, 29 Jun 2016

Lepas, Maaf, Lupa

Apa itu kesabaran?

Saya mendefinisikan sabar itu dengan tiga perkataan yang tidak boleh dipisahkan, iaitu ‘melepaskan’, ‘memaafkan’ dan ‘melupakan’.

Kita sering kali diuji dengan pelbagai ujian tidak kiralah dalam bentuk apa sekali pun ujian tersebut. Kita tidak pernah berhenti berehat menghadapi ujian-ujian Tuhan ini.

Lepas hilangnya satu masalah, pasti akan muncul satu lagi masalah lain. Malah ada juga masalah kita yang tidak pernah selesai yang akan menyebabkan masalah-masalah kita akan bertimbun menjadi gunung.

Baik diuji dengan masalah dalam persahabatan, percintaan, mahupun masalah keluarga, semua ini menuntut kita untuk bersabar. Namun bagaimanakah kita boleh dan terus mampu menahan sabar sehingga ke penghujungnya?

Ramai orang mengatakan bahawa kesabaran ini ada hadnya. Benarkah itu? 

Insan yang meletakkan had atau ‘limit’ terhadap tahap kesabaran ini adalah insan yang lemah. Kesabaran ini bukanlah sesuatu yang mempunyai had seperti mengisi air di dalam botol sahaja. Sememangnya tidak sama sekali. Jika kita meletakkan had yang tertentu pada nilai kesabaran ini, ketahuilah ia bukan nilai kesabaran yang sebenar.

Sabar merupakan satu anugerah Tuhan yang sangat tinggi nilainya. Seperti mana yang saya katakan, sabar ini adalah melepaskan, memaafkan dan melupakan (mesti ikut sususan).

Sabar yang sebenarnya adalah dengan cara melepaskan sesuatu yang pahit itu dengan tenang dan senyuman, memaafkan sesuatu yang dibenci itu dengan kasih sayang, dan semestinya melupakan sesuatu yang buruk dan hitam itu dengan hati yang meredhainya.

Ingatlah kepada yang meletakkan sabar itu dengan had, ubahlah ia. Upgrade lah ia menjadi sesuatu yang sempurna.

Orang yang kuat adalah orang yang kesabarannya tiada batasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan